MANIFESTO DR. PAUL PORODONG
“Perubahan bermula dari komuniti. Masa depan Sabah dibina bersama.”
Kota Marudu adalah antara daerah termiskin di Malaysia. Indeks kemiskinan 2022 menunjukkan kadar kemiskinan tegar di Kota Marudu adalah sekitar 4% — kelima tertinggi di Sabah selepas Tongod, Beluran, Pitas dan Kinabatangan.
Punca utama kemiskinan ini adalah masalah struktural:
- Infrastruktur asas (jalan kampung, bekalan air, elektrik) masih ketinggalan
- Peluang pekerjaan formal yang sangat terhad
Halangan struktural ini boleh diatasi dengan kerjasama rapat bersama Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Pada tahun 2024, sebanyak RM468.7 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan struktur di kawasan ini.
Selain itu, terdapat juga pengaruh budaya — amalan ekonomi masyarakat masih terikat dengan pertanian tradisional dan sistem ekonomi saradiri.
Dr. Paul Porodong sangat memahami perkara ini. Kajian Sarjana beliau pada tahun 1997 bertajuk Kemiskinan di Kalangan Petani Pindah Kaum Rungus di Sabah — satu penelitian Antropologi Pembangunan — menunjukkan bahawa mengatasi kemiskinan mesti bermula dengan memahami pola pikir (mindset) masyarakat terlebih dahulu. Barulah langkah intervensi dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan mampan.
PELAN SASARAN TINDAKAN 5 TAHUN
1. Mempastikan setiap kampung mempunyai akses jalan perhubungan sepanjang musim
- Menaiktaraf 100 km jalan raya setiap tahun untuk meningkatkan akses kepada pasaran dan melancarkan urusan harian.
- Mempastikan semua jalan raya berdekatan sekolah dan klinik diturap.
- Membina jalan berkembar di antara Bulatan Simpang Tiga sehingga ke Pekan Goshen.
- Memastikan Pembangunan Lebuhraya Pan Borneo memberi impak positif kepada penduduk tempatan.
- Memastikan penambahan bekalan elektrik ke sekurang-kurangnya 100 megawatt lagi untuk mengurangkan atau mengatasi masalah “black out”.
2. Memperkenalkan industri nilai tambah ke atas semua produk mentah yang dikeluarkan dari Kota Marudu
- Menyediakan peluang kerja untuk memberi ruang kepada tenaga muda membangunkan daerah-daerah di Utara Sabah.
- Mengembalikan kegemilangan Kota Marudu sebagai pusat pengeluaran padi termasuk menjenamakan beras keluaran Kota Marudu agar mendapat pasaran yang lebih baik.
3. Memberi keutamaan kepada pembangunan sumber manusia di Kawasan P168 dan sekitar
- Mempastikan kebajikan guru-guru dan pelajar di P168 (khususnya di kawasan terpencil) tidak diabaikan.
- Memberikan bantuan awal kepada pelajar P168 yang berjaya mendapat tawaran ke Matrikulasi dan IPT.
- Menyediakan One Stop Centre (OSC) untuk membantu lepasan sekolah mendapatkan maklumat peluang kerjaya, latihan, bantuan perniagaan serta khidmat nasihat dan sokongan teknikal pembangunan diri dan keluarga.
- Menyediakan dana khas untuk wanita mencebur diri dalam bidang keusahawanan termasuk menaiktaraf perniagaan sedia ada.
4. Memberi peruntukan khas untuk menyelesaikan pengukuran dan pengeluaran geran tanah
- Kampung yang berada di Kawasan Hutan Simpan diberi ruang untuk menggunakan kawasan tersebut bagi tujuan sara hidup termasuk eco-pelancongan.
- Menyelesaikan kepemilikan tanah di Agropolitan Gana.
5. Menaik taraf Hospital Kota Marudu sebagai hospital pakar dan memulakan kerja awal ke arah penubuhan Hospital Matunggung.
6. Menyasarkan pembinaan Muzium atau Rumah Budaya untuk semua etnik di P168.
7. Memberi peruntukan khas kepada komuniti-komuniti yang menjalankan kerja-kerja konservasi dan pemuliharaan alam sekitar (hutan, sungai dan laut).
STRATEGI PELAKSANAAN
Sasaran ini akan dicapai dengan tiga strategi utama:
1. KERJASAMA
Melakukan penyelarasan dan kerjasama erat dengan ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (N5 Tandek, N6 Bandau dan N7 Matunggung) serta jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
2. LIBATURUS
Menangani permasalahan rakyat dengan pendekatan libat rakyat (libaturus) — melibatkan kakitangan kerajaan, pimpinan kampung, pemimpin parti politik dan golongan profesional di P168 dalam merancang dan menilai setiap inisiatif pembangunan.
3. BERMAKLUMAT
Semua tindakan adalah berdasarkan data dan maklumat sebenar, bukan kerana faktor atau pengaruh politik.
Dr. Paul Porodong, Calon MP P168 Kota Marudu
WOULD YOU LIKE TO BECOME ONE OF OUR DONORS?
Perubahan bermula dari komuniti. Masa depan Sabah dibina bersama. Meningkatkan Pendapatan, Membasmi Kemiskinan dan Membina Warisan Generasi Esok
ALAMAT
Pejabat Perhubungan, Dr. Paul Porodong, 89109 Kota Marudu, Sabah.
info@paulporodong.com